.....

Thursday, March 13, 2014

KISAH NABI NUH

Bismillahirrahmanirrahim

InsyaAllah hari ini ingin saya kongsikan kisah salah seorang 25 rasul yang wajib kita ketahui,Nabi Nuh Alaihissalam.

Sebelum itu,molek kiranya kita membuka dahulu lembaran dari Surah Nuh

Bismillah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
A001
Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): "Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya".

A002
dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata;
A003
"Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku;
A004
"Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)".
A005
(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);
A006
"Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).
A007
"Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.
A008
"Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;
A009
"Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.
A010
"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.
A011
"(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
A012
"Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).
A013
"Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya), -
A014
"Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?
A015
"Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,
A016
"Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),
A017
"Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna,
A018
"Kemudian Ia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya?
A019
"Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,
A020
"Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya".
A021
Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).
A022
"Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).
A023
"Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr.
A024
"Dan sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan yang demikian) janganlah Engkau (wahai Tuhanku) menambahi orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan jua".
A025
Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan).
A026
Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!
A027
"Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.
A028
"Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!"


MasyaAllah!Betapa hebatnya Nabi Nuh dalam menyampaikan dakwah tetapi Allah masih menguji baginda.950 tahun berdakwah kepada kaumnya untuk kembali kepada al-HaQ tetapi sedikit sekali yang menyeru seruan dan beriman kepada Allah.Betapa angkuhnya kaum Nabi Nuh.
Dakwah baginda memerlukan KESABARAN yang sangat tinggi.Cuba kita renung dan fikirkan,beratus-ratus tahun lamanya Nabi cuba berdakwah tanpa lelah namun kaumnya tidak juga beriman malah mencabar kuasa Allah.Mereka termasuklah isteri dan anaknya,Kana'an.
Suatu hari,Nabi mengeluh dan mengadu kepada Allah,baginda berkata maksudnya:
(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);
"Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).
Maka,Allah memerintahkan Nabi supaya mencipta bahtera kerana azab Allah akan timpa kepada mereka yang tidak beriman tidak lama lagi.Ketika Nabi menukang untuk membina bahtera,diejek-ejeknya oleh para ketua kaum namun Nabi tetap menyeru kepada kebenaran.
Tidak lama kemudian setelah siap bahtera tersebut,maka hujan turun dengan lebatnya dan lebih dahsyat lagi,tidak cukup dengan hujan di langit, air dari bumi juga melonjak keluar demi mentaati perintah Allah.Ketika itu,Nabi Nuh melihat anak dan isterinya berlari-lari mendapatkan tempat yang tinggi untuk menyelamatkan diri.Nabi Nuh masih mengajak mereka untuk bersamanya naik ke bahtera.Mereka tetap dengan pendirian bahawa berhala-berhala mereka akan datang menyelamatkan mereka.Tidak tergambar bagaimana kasihnya Nabi terhadap keluarganya dan bertambah sedih di saat akhir,mereka tetap tidak mahu beriman kepada Allah.
Mari kita teliti dan dalami sirah nabawiyah ini.Betapa agungnya kuasa Allah dapat melenyapkan mereka yang mengingkari perintahNya dengan sekelip mata.Kita hari ini,pelbagai maksiat yang dilakukan,tetapi Allah masih sayangkan kita.Allah tidak memberi azab yang pedih lagi di dunia.Marilah kita koreksi diri untuk kembali bertaubat kepadaNya.Berserah diri pada yang selayaknya,Yang Maha Pencipta.
Tiada kuasa lain yang dapat membantu kita di akhirat nanti hatta di dunia ini sekalipun,Allah Maha Kuasa Maha Mengetahui.
Bersabarlah dalam perjuangan menyampaikan dakwah Islam walaupun ianya pahit tetapi ketahuilah bahawa SYURGA ITU INDAH.Syurga itu hanya layak bagi mereka yang tiada dosa.Maka,kita seharusnya melakukan semaksima mungkin ALKHAIRAAT,dan mengelakkan seboleh mungkin KEBATILAN.
Sekadar perkongsian.Moga Allah redha dengan setiap perbuatan yang kita lakukan dan dikira sebagai amal ibadah dan menjadi saksi di akhirat nanti.InsyaAllah.