.....

Sunday, May 27, 2012

Cikgu.Guru,Teacher,Sir,Murobbi

assalamualaikum...

alhamdulillah...akhirnya Allah memberi keizinan kepada saya untuk mengupdate di laman ini...selawat dan salam buat rasul junjungan, Rasulullah SAW dan para sahabat serta ahlul bait baginda...

hari ini, ingin sekali saya berkongsi satu sajak khas yang dinukilkan oleh guru tercinta Cikgu Azmi..sajak ini mengenai guru dan pelajar sempena Sambutan Hari Guru yang diadakan di matri baru-baru ini...

menitis air mata pabila mendengar cikgu sendiri mendeklamasikan sajaknya kepada para pelajar dengan penuh emosi..tersentak jiwa pabila mendengar suara getarnya dilontarkan buat kami pelajar matri...sama-sama kita hayati sajak tersebut dengan mata hati....

Di Jendela Ini
Di jendela ini
ku menyaksikan keruntuhan bangsa
menangisi hilangnya peribadi ummat
Dan luntur luluhnya IMAN
Di ulit kemewahan, diragut kepapaan

Di jendela ini
Kuratapi kematian jiwa
Hancur runtuh rumahtangga
Terbiar terkapar anak-anak bangsa
mengais secebis identiti
menyudu kehormatan dan harga diri
Dicelah runtuhan sebuah kehidupan.

Tiada lagi kebahagiaan
pudar sudah lirikan senyuman
Bila diri lupa jalan pulang
pada Pemilik jiwa dan kehidupan

Tiada lagi kelapangan hati
pada mahligai tersergam berdiri
Apabila insan lupa diri
Hidup sekadar nafsu nafsi

Tiada lagi kelazatan jiwa
pada sajian hebat di meja kehidupan
bila hati tak mengenal Pencipta
Pemilik diri dan semesta alam

Maafkan guru mu
anak-anak tercinta
Lama ku berdiri di jendela
lupa dirimu semakin dewasa
nasihatku melimpah dalam bicara
tapi tiada hikmah dalam kata-kata

Maafkan guru mu
anak-anak tercinta
terleka jiwa ku dijendela
terlupa dirimu manusia biasa
tidak suka dikongkong jasad dan jiwa

Hanya satu harapan dicita
Dirimu terpelihara diluar sana
Indah pekertimu menyeri dunia
Membimbing manusia pada Pencipta



Bumi Wakafan, MATRI
11.45 PM, 21 Mei 2012

sungguh beruntung dapat menjadi pelajar Matri...sukar untuk dicari guru-guru semulia mereka..cikgu-cikgu yang sanggup menghabiskan masa tuanya demi anak-anak murid...berkorban wang ringgit,tenaga dan seluruh jiwa hanya kerana mendidik anak-anak ke jalan yang lurus....membawa kami mengenal Yang Esa...menyedarkan kami akan Akhirat yang pasti...

jazakumullahu khair murobbi-murobbi tercinta...

fikirkanlah selalu




WAHAI SETIAP DIRI YANG DIPERHATI!
WAHAI SETIAP DIRI YANG DIKASIHI...

Wahai setiap diri yang dirindui,
Wahai setiap diri yang diharapkan meneruskan perjuangan!...

Wahai setiap diri yang menjadi tulang belakang...,
Wahai setiap diri yang saling berganding bahu menyeru kebenaran!...

Fahamilah maksud firman Allah;
"Wahai orang-orang yang beriman,bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok(akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."(QS Al-Hasyr:18)


Wahai setiap diri yang melaksanakan amanah Allah!...

Ayat tersebut mengingatkan kita agar selalu menghitung diri yang diibaratkan sebagai pedagang di dunia ini;

Syariat Islam adalah modal kita. Keikhlasan, ketaqwaan dan istiqamah adalah strategi kita.

Pahala, keampunan dan hidayah Allah adalah keuntungan.

Keredhaan Allah adalah matlamat kejayaan.

Tempoh perjanjian perniagaan kita adalah sepanjang hayat kita di dunia.


Wahai pemburu kasih Ilahi!...


Sentiasalah fikirkan ahkikat hidup dan penciptaan diri kita untuk, apakah?...
Usah dibiarkan masa terbazir begitu saja walau hanya beberapa detik...! Sentiasalah menghitung diri dan memperelok amalan. Darinya nanti akan terbit iman yang mantap yang mampu menghadapi hari-hari esok yang lebih mencabar akal, jiwa dan tingkah laku.


Ingatlah pesanan Umar Al-Faruk r.a;

"Hisablah(hitunglah) dirimu sebelum kamu dihisab Allah.

Serta bersiap sedialah untuk menghadapi peperiksaan yang paling besar(hari kiamat)."


Wahai perindu syafaat rasul junjungan...!

Fikirkanlah sedalam-dalamnya...;


1. Gerak hatimu yang menimbulkan niat samaada ikhlas atau sebaliknya dalam mengerjakan sesuatu amal. Perhatikan adakah hatimu dikuasai riya, takabbur dan 'ujub.


2. Perkara yang memenuhi akalmu. Apakah yang difikirkan setiap detik dalam hidupmu? Adakah hanya memberi tumpuan urusan dunia dengan melupakan persiapan akhirat?


3. Kerja yang dibuat oleh tulang empat kerat, apakah melupakan amanah menegakkan kebenaran? Sangat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup insan sejagat.


4. Ibadah kepada Allah sudahkah ditunaikan tepat pada waktunya dan dengan khusyuk?
Peliharalah hubungan yang akrab dengan Allah SWT.


5. Rezekimu adakah dari sumber yang halal. Sudahkah menafkahkannya di jalan Allah. Awas dari sifat bakhil.


6. Dalam kesibukan harian, usah berlengah melaksanakan tanggungjawab terhadap orang tua dan kerabat. Juga sahabat handai, anak yatim dan masyarakat sekeliling.


Wahai semua yang dikasihi kerana Allah...

Mari sama-sama kita berdoa...;


"Ya Rabb! Ampuni bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan

kami dan matikanlah kami beserta orang-orang yang banyak berbuat bakti." Amiin.