.....

Sunday, April 29, 2012

IMAM SYAFIE

Mauqif Sirah : Kehalusan Imam Syafi’i

Bismillahirahmanirahim

Mauqif Sirah : Kehalusan Imam Syafi’i

Saya sangat mengagumi seorang tokoh imam mahzab yang besar iaitu Imam Syafi’i. Kali ini saya ingin kongsikan kisah antara Imam Syafi’i, anak muridnya Imam Ahmad dan puteri kepada Imam Ahmad. Kisah yang wajar diketahui oleh semua orang untuk dijadikan ibrah, pengajaran dan contoh di dalam kehidupan. InsyaAllah.

Kisah di rumah Imam Ahmad

Imam Ahmad adalah salah seorang ulama besar ahli hadis dan ahli fiqh di kota Baghdad. Dia memiliki seorang guru yang sangat ia hormati iaitu Imam Syafi’i. Penghormatan Imam Ahmad pada Imam Syafi’i adalah sebaik-baik penghormatan seorang murid pada gurunya. Imam Ahmad tidak pernah lupa untuk menyebut nama imam Syafi’i dalam doa-doanya. Dia bahkan meminta kepada anak dan muridnya untuk mendoakan Imam syafi’i setiap kali selesai solat.

Imam Ahmad memiliki anak perempuan yang solehah. Sering kali Imam Ahmad menuturkan keutamaan, kezuhudan, ketaqwaan, kecerdasan dan kebaikan Imam Syafi’i. Hal ini membuatkan puterinya itu ingin sekali bertemu terus dengan ulama yang sangat dikagumi ayahnya itu.

Suatu kali Imam Ahmad mengundang Imam Syafi’i ke rumahnya. Imam Ahmad telah menyiapkan hidangan dan kamar khusus untuk gurunya itu. Imam Syafi’i sampai di rumah Imam Ahmad setelah solat isya’.

Sebaik sampai, Imam Syafi’i terus diajak Imam Ahmad untuk makan malam. Imam Syafi’I makan dengan tenang dan lahap. Selesai makan Imam Syafi’I berbincang-bincang sebentar dengan Imam Ahmad lalu masuk ke kamar yang telah disiapkan untuknya dan merebahkan badan.

Ketika tiba waktu subuh, Imam Syafi’i bangkit dan terus menuju ke masjid bersama Imam Ahmad untuk solat berjemaah. Imam Ahmad mempersilakan Imam Syafi’I untuk menjadi imam. Namun Imam syafi’I menolaknya.

“Jemaah di sini lebih akrab dengan mu. Hati mereka akan lebih tenang dan mantap jika kau yang menjadi imam.” Kata Imam Syafi’i dengan bijak.

Selepas solat subuh, kedua imam itu I’tikaf di masjid sampai tiba waktu Dhuha. Setelah solat Dhuha barulah keduanya kembali ke rumah Imam Ahmad. Sampai di rumah, Imam Syafi’I kembali masuk ke dalam kamar. Sedangkan Imam Ahmad terus ditemui oleh puterinya.

Kritikan puteri Imam Ahmad

“Ayah benarkah tamu kita itu ialah Imam Syafi’I yang sering ayah ceritakan?” Tanya puteri Imam Ahmad.

“Benar. Ada apa puteriku?” jawab Imam Ahmad.

“Jika benar, ada tiga kemusykilan dan kritikan untuk Imam Syafi’i. Tiga hal ini menurutku agak tercela. "

Sambungnya lagi : "Pertama, kulihat waktu makan, beliau makan banyak sekali."

" Kedua, setelah masuk biliik beliau terus merebahkan badan dan tidur. Semalam suntuk aku memperhatikan. Ternyata beliau tidak solat malam. Padahal solat malam adalah kebiasaan orang-orang soleh. "

Dan katanya lagi :

"Dan ketiga, sebaik bangun tidur ia terus ke masjid untuk solat subuh tanpa mengambil wudhu’ dahulu. Bererti beliau solat subuh tanpa wudhu’.”

Imam Ahmad jadi bingung dan sedikit terkesima mendengar pertanyaan puterinya itu. Namun dia tidak mahu berprasangka yang bukan-bukan pada gurunya. Saat itu juga Imam Ahmad menemui Imam Syafi’I untuk meminta penjelasan atas apa yang diamati puterinya.

Mendengar hal itu, Imam Syafi’I tersenyum dan menjelaskan :

“ Ahmad, memang benar aku makan banyak dan itu ada alasannya. Aku tahu makanan yang kau hidangkan itu halal. Aku juga tahu kau adalah orang yang pemurah dan dermawan. Maka aku makan sebanyak-banyaknya. Sebab makan yang halal itu banyak berkahnya. Dan makan makanan orang yang pemurah adalah ubat. Lain dengan makan makanan orang bakhil, itu membawa penyakit. Aku makan banyak kerana berharap mendapat berkah yang banyak juga mendapat ubat.

Sedangkan aku tidak solat malam, itu kerana sebaik sahaja aku meletakkan kepala di atas bantal, seoalah kitab Allah dan sunnah Rasulullah SAW dihampar di depan mataku. Dan aku menelaahnya dengan teliti semalam suntuk. Dan hasilnya, aku berjaya memecahkan tujuh puluh dua massalah fiqh yang bermanfaat bagi kaum muslimin. Kerana itu aku tidak sempat untuk solat malam.

Dan aku solat subuh tanpa berwudhu’ kerana aku masih suci. Aku tidak memejamkan mata sedikit pun. Aku masih punya wudhu’ sejak solat isya’. Maka aku solat dengan kalian tanpa perlu mengulang wudhu’,”

MasyaAllah. Inilah kisahnya. Apa ibrah yang boleh kita ambil?

Ibrah dan Pengajaran

1)- Pertama, penghormatan seorang pelajar kepada guru sangat penting. Nilai dan contoh yang ditunjukan oleh Imam Ahmad adalah sesuatu yang sangat mulia. – Memuliakan dan menghormati guru adalah akhlak mulia yang harus dijelmakan di dalam kehidupan.

2)- Menjaga sumber dan kehalalan sesuatu makanan merupakan amalan orang-orang soleh. Ini kerana, sumber makanan bersangkutan dengan keperibadian seseorang. Makanan yang haram, akan memberi kesan kepada akhlak dan sahsiah seseorang. Kerana itu, soal makanan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

3)- Suatu amalan yang sangat baik ialah, sekiranya kita dijemput makan ke rumah orang-orang yang soleh, warak dan baik maka penuhilah jemputannya dan makanlah makanan yang dihidang dengan penuh selera. Inilah peluang dan kesempatan untuk menjamah makanan orang-orang yang sangat-sangat baik dan di sana adalah keberkatan dan kemuliaan.

4)- Imam Syafi’I sangat menyanjungi dan menghormati anak muribnya Imam Ahmad. Beliau memuliakan Imam Ahmad apabila diminta untuk menjadi imam solat subuh. Dengan bahasa yang baik dan hujjah yang menyenangkan, Imam Syafi’I memberikan laluan kepada Imam Ahmad untuk mengimami solat Subuh.

5)- Imam Syafi’I adalah seorang ulama yang sangat mencintai ilmu, dan sentiasa berfikir untuk ummat Islam. Buktinya, satu malam penuh beliau memikirkan permasalahan fiqh dan cuba menyelesainya dengan ilmu, dan panduan daripada Allah SWT. Ketekunannya, kesungguhannya dan kesabarannya harus dijadikan ibrah untuk semua umat Islam.

6) – Memelihara wudhuk adalah amalan yang baik untuk kebersihan dan kesucian diri. Selalulah kita memperbaharui wudhuk andaikata wudhuk tersebut terbatal disebabkan faktor-faktor tertentu. Memelihara wudhuk adalah perbuatan yang sangat-sangat dicintai oleh Allah SWT.

No comments:

Post a Comment